Sabtu, 25 March 2017 | 11:20pm

PBB minta bantuan Kongo cari petugas hilang

PASUKAN Pengaman PBB memeriksa seseorang lelaki di Bunia. - Foto AP
PASUKAN Pengaman PBB memeriksa seseorang lelaki di Bunia. - Foto AP

DAKAR, Senegal: Kerajaan Kongo perlu bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengesan sekumpulan pakar yang hilang lebih dua minggu di wilayah bergolak Kasai.

Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata, pasukan pengaman Uruguay dan unit khas Tanzania yang dihantar untuk mengesan enam pakar itu tidak menerima kerjasama menyeluruh dalam menjayakan misi berkenaan.

Wakil PBB di Kongo berkata, pergerakan mereka dibataskan oleh pasukan keselamatan di Kananga, ibu negeri Kasai Tengah.

PBB sebelum ini melaporkan penemuan lebih daripada dua dozen kubur besar di tiga wilayah Kasai. Turut menjadi perhatian ialah lima rakaman video yang memaparkan tembakan dilepaskan tentera Kongo ke arah anggota militan.

Pengarah Afrika Tengah Hak Asasi Manusia, Ida Sawyer berkata, kehilangan pasukan dari PBB itu memberi gambaran sebenar keganasan yang berlaku di Kasai.

"Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat segala salah laku di sana," katanya.

Michael Sharp dari Amerika Syarikat (AS), Zaida Catalan dari Sweden, penterjemah Betu Tshintela, pemandu Isaac Kabuayi dan dua pemandu arah dilaporkan hilang pada 12 Mac di sebuah kampung terpencil di selatan Kananga. - AP

Berita Harian X