Ahad, 19 March 2017 | 8:24pm

Somalia desak Arab Saudi siasat serangan ke atas pelarian

MAYAT pelarian Somalia yang ditembak mati di atas bot di bandar pelabuhan Yaman. - Foto AFP
MAYAT pelarian Somalia yang ditembak mati di atas bot di bandar pelabuhan Yaman. - Foto AFP

MOGADISHU: Somalia menggesa pasukan tentera antarabangsa diketuai Arab Saudi yang berperang di Yaman menyiasat kes puluhan pelarian negara itu ditembak mati di atas bot.

Sehingga kini, belum dapat dipastikan pihak yang mendalangi serangan, yang mengorbankan lebih 40 pelarian Somali di perairan di luar pantai Yaman, awal Jumaat lalu.

Pertumpahan darah itu dikutuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.

Menteri Luar Somalia, Abdulsalam Omer, mendesak pasukan pakatan yang memerangi pemberontak Houthi di Yaman supaya menyiasat kejadian itu.

Somalia adalah anggota pasukan pakatan disokong Amerika Syarikat itu, yang memerangi pemberontak Houthi disokong Iran.

"Kami menggesa rakan kami menyiasat serangan itu. Ia amat menyedihkan, menyasarkan bot membawa pendatang Somalia berhampiran pantai Hodeida di Yaman," katanya.

Jumaat lalu, jurucakap pasukan pakatan menafikan bertanggungjawab atas serangan itu.

Serangan di Laut Merah berlaku di pelabuhan Hodeida yang dikuasai pemberontak, dengan wanita dan kanak-kanak antara mangsa. - AFP

Berita Harian X