Ahad, 19 March 2017 | 7:14pm

Netanyahu ancam adakan pilihan raya segera

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengugut akan menjalankan pilihan raya dengan segera jika Perbadanan Penyiaran Awam (PBC) tidak dibubarkan.

Akhbar, radio dan saluran televisyen tempatan menyiarkan ugutan Netanyahu untuk membubarkan kerajaan, jika perkhidmatan penyiaran baharu itu tidak dibubarkan sebelum tarikh jadualnya bermula 30 April ini.

Netanyahu, yang parti Likud pimpinannya memperoleh majoriti mudah di Parlimen, menentang perkhidmatan baharu itu.

Minggu lalu, beliau mencapai persetujuan dengan Menteri Kewangan, Moshe Kahlon, yang juga pemimpin parti Kulanu, tetapi kemudian berbalah semula.

"Likud menghormati semua perjanjian parti gabungan, tetapi parti kecil tidak berbuat demikian membabitkan perkara penting," kata Netanyahu.

Sebahagian media menyatakan Netanyahu sengaja mencetuskan krisis Kabinet sebagai cara mengalih perhatian daripada siasatan terhadap dakwaan rasuah.

Sejak beberapa minggu lalu, beliau disoal siasat polis berhubung dakwaan itu. - AFP

Berita Harian X