Selasa, 14 March 2017 | 10:38pm

Israel tutup pejabat peta Palestin

KHALIL Tafakji (tengah), yang menguruskan sebuah pejabat peta Palestin, ditahan dan dokumen serta komputer miliknya dirampas oleh pegawai keselamatan Israel. - Foto Reuters Ammar Awad
KHALIL Tafakji (tengah), yang menguruskan sebuah pejabat peta Palestin, ditahan dan dokumen serta komputer miliknya dirampas oleh pegawai keselamatan Israel. - Foto Reuters Ammar Awad

BAITULMAQDIS: Israel mengarah penutupan sebuah pejabat pemetaan di kawasan Arab Timur Baitulmaqdis hari ini, kerana mengesyaki ia dibiayai Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Pejabat itu disyaki terbabit memantau jualan hartanah Palestin kepada Yahudi.

Israel melarang mana-mana aktiviti rasmi oleh PA disokong Barat di sini, mendakwa ia melanggar kedaulatan Israel ke atas bandar itu diisytiharkan ibu negaranya, namun tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Gilad Erdan, berkata pejabat itu yang merangka peta, memantau dan merekodkan tanah milik Palestin di timur Baitulmaqdis, meneliti perubahan bentuk muka bumi dilakukan Israel dan menyenarai nama pemilik tanah yang bercadang menjualnya.

"Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Gilad Erdan, mengarahkan penutupan pejabat pemetaan Palestin yang meneruskan operasi di Beit Hanina di Baitulmaqdis," kata kenyataan polis Israel.

Ketua perunding Palestin Saeb Erekat menggelar penutupan itu satu tindakan provokasi dan sebahagian usaha Israel 'memadam kehadiran Palestin di bandar itu.'

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Erdan berkata: "Pejabat pemetaan Palestin adalah sebahagian rancangan PA untuk menjejaskan kedaulatan kami di Baitulmaqdis dan mengancam penduduk Arab yang menjual hartanah kepada Yahudi di bandar itu.

"Saya akan terus bertindak tegas bagi menghalang mana-mana tapak kerajaan Palestin di Baitulmaqdis."

Pejabat di Beit Hanina, kejiranan Palestin di bahagian utara Baitulmaqdis dikendalikan pakar geografi Khalil Tafakji, 65. Polis berkata, penduduk Baitulmaqdis itu ditahan dan dokumen serta komputer miliknya dirampas. - Reuters

Berita Harian X