Selasa, 28 Februari 2017 | 10:00am

Trump salahkan kegagalan Oscars akibat politik

PRESIDEN Donald Trump. - Foto EPA
PRESIDEN Donald Trump. - Foto EPA

LOS ANGELES: Presiden Donald Trump berkata semalam, huru hara yang tercetus ketika kemuncak acara Oscars disebabkan Hollywood terlalu taksub terhadapnya berbanding memberi tumpuan mengendalikan majlis anugerah itu dengan lancar.

Dalam satu temuramah Pejabat Oval dengan laman web konservatif Breitbart News, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata, penganjur Oscars gagal memberi tumpuan kerana mereka 'terlalu fokus terhadap politik.'

"Agak sedikit menyedihkan. Ia mengambil alih suasana glamor Oscars. Ia tidak terasa seperti malam penuh glamor. Saya pernah ke Oscars. Ada sesuatu perasaan amat istimewa yang hilang dan caranya berakhir agak menyedihkan," kata Trump kepada laman web itu yang sebelum ini dikendalikan Steve Bannon.

Bannon kini berkhidmat sebagai ketua strategi Rumah Putih.

Komen Trump dibuat selepas Faye Dunaway dan Warren Beatty tersilap mengumumkan anugerah filem terbaik ketika kemuncak upacara itu kepada 'La La Land' apabila 'Moonlight' sepatutnya diumum pemenang.

Kekeliruan itu, mencetuskan penamatan huru hara terhadap siaran langsung terbitan ABC, digambarkan satu daripada saat paling memalukan dalam sejarah Oscars atau Academy Awards ke-89 itu.

Trump menjadi sasaran jenaka ringan dan ejekan serius sepanjang malam ketika pemenang Oscars mengecamnya susulan dasar imigresen yang diperkenalkan.

Pengacara Jimmy Kimmel memantau rapat parti Republikan menerusi Twitter ketika siaran langsung sambil mengulangi kritikan ketua komander (Trump) ke atas ikon layar perak Meryl Streep.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump. Ingat tahun lalu apabila kelihatan Oscars seperti bersifat perkauman? Ia sudah berlalu, terima kasih kepada beliau!" cemuh Kimmel. - AFP

Berita Harian X