Selasa, 21 Februari 2017 | 6:39am

Trump pilih jeneral tentera sebagai penasihat keselamatan

TRUMP berjabat tangan dengan Penasihat Keselamatan Tentera Nasional barunya Leftenan Jeneral H.R. McMaster selepas membuat pengumuman itu di Palm Beach, Florida. - Reuters
TRUMP berjabat tangan dengan Penasihat Keselamatan Tentera Nasional barunya Leftenan Jeneral H.R. McMaster selepas membuat pengumuman itu di Palm Beach, Florida. - Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memilih jeneral tentera H R McMaster, 54, sebagai penasihat keselamatannya semalam, berharap pilihannya kali ini tepat untuk jawatan itu.

Trump mengumumkan pelantikan pakar strategi anti-pengganas itu di hartanah miliknya Mar-a-Lago di Florida, menamatkan pencarian seminggu bagi menggantikan pilihan utamanya, Michael Flynn, yang hanya bertahan selama sebulan.

Flynn terpaksa meletak jawatan 13 Februari lalu, selepas hubungannya dengan kerajaan Russia dipersoalkan dan pendedahan beliau berbohong mengenainya dengan Naib Presiden Mike Pence dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Trump pada mulanya memilih timbalan laksamana bersara Robert Harward untuk menggantikan Flynn, namun beliau menolak pelantikan itu.

Rumah Putih berkata, Trump 'akan memberi kuasa penuh kepada McMaster untuk mengambil kakitangan yang dirasakannya sesuai.' - AFP

Berita Harian X