Sabtu, 18 Februari 2017 | 9:20pm

Netanyahu lepas jawatan Menteri Komunikasi

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, meletak jawatan sebagai Menteri Komunikasi berikutan siasatan polis berhubung dakwaan wujudnya perjanjian dengan akhbar paling laris negara itu supaya memberi liputan positif kepadanya.

Berikutan itu, anggota parti Likud pimpinan Netanyahu, Tzachi Hanegbi, akan berkhidmat sebagai pemangku pengarah Kementerian Komunikasi.

Netanyahu dikecam hebat dalam dua kes salah laku jenayah iaitu tuduhan beliau menyalah guna jawatannya.

Bulan lalu, anggota Parti Kesatuan Zionis, Isaac Herzog, memohon Mahkamah Agung Israel memerintahkan Netanyahu meletak jawatan sebagai Menteri Komunikasi yang disandangnya selain jawatan Perdana Menteri.

Netanyahu dan Arnon Mozes, salah seorang pencabar utama beliau, dan penerbit akhbra Yediot Ahronot, disyaki terbabit dalam perjanjian itu yang dibuat secara rahsia.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Israel, Yair Tarchitsky, menyamakan rundingan rahsia itu 'seperti Donald Trump bertemu Hillary Clinton menjelang pilihan raya'.

Rakaman yang diperoleh pejabat Peguam Negara Israel menunjukkan Mozes memberikan liputan yang baik terhadap Netanyahu pada pilihan raya 2015 sebagai balasan kepada bantuan beliau menyekat edaran akhbar percuma, Israel Hayom, pesaing nombor satu Yediot Ahronot.

Lebih menarik, Israel Hayom dimiliki hartawan kasino Amerika Syarikat dan penyumbang terbesar Presiden Donald Trump, Sheldon Adelson.

Mozes didakwa meminta Netanyahu menggubal perundangan tidak membenarkan akhbar percuma berada dalam pasaran, dan, selagi beliau bersetuju meneruskan agenda itu Mozes 'akan melakukan apa terdaya untuk memastikan pemimpin Israel itu kekal dalam jawatan selama dimahukan.' - SPUTNIK NEWS

Berita Harian X