Sabtu, 11 Februari 2017 | 11:51am

Ketua tentera Serbia bunuh ribuan umat Islam meninggal dunia

KETUA Tentera Serbia, Kolonel Ljubisa Beara, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2010, meninggal dunia di Berlin, Rabu lalu. - Foto The New York Times
KETUA Tentera Serbia, Kolonel Ljubisa Beara, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2010, meninggal dunia di Berlin, Rabu lalu. - Foto The New York Times

BOSNIA: Ketua Tentera Serbia, Kolonel Ljubisa Beara, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2010, meninggal dunia di Berlin, Rabu lalu.

Beara didapati bersalah dalam kes pembunuhan beramai-ramai membabitkan 8,000 orang Islam, terutama lelaki dan kanak-kanak berhampiran Srebrenica pada 1995.

Berita kematian bekas tentera berusia 77 tahun itu disahkan jurucakap Kementerian Kehakiman Berlin, Peggy Fiebig, tanpa mendedahkan punca kematiannya.

Insiden pembunuhan beramai-ramai itu adalah yang terburuk dalam sejarah Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Beara yang ditahan di penjara Tegel, Berlin menyerah diri kepada Tribunal Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague pada 2004.

Tribunal itu menuduh kerajaan Serbia melindungi Beara selama dua tahun, selepas dia didapati bertanggungjawab terhadap tragedi pembunuhan beramai-ramai itu.

Beara dan seorang lagi komander Serbia Bosnia, Vujadin Popovic, disabitkan dengan kesalahan pembunuhan beramai-ramai itu dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. - New York Times

Berita Harian X