Khamis, 9 Februari 2017 | 6:52am

32 maut pertempuran di bandar pelabuhan Mokha

ADEN: Seramai 32 pejuang terbunuh dalam pertempuran untuk menawan sebuah bandar pantai utama di barat Yaman antara tentera kerajaan dan pemberontak Syiah Houthi, kata pegawai.

Kejadian berlaku ketika pasukan yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi mara ke kawasan kejiranan Mokha hingga memaksa Houthi berundur ke bahagian utara dan barat bandar itu, kata sumber tentera.

Pengikut setia yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi, lengkap dengan senjata api memasuki bandar pelabuhan strategik itu pada akhir Januari lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengusir pemberontak dari pantai Laut Merah.

Pertempuran semalam menyaksikan 24 pemberontak terbunuh, termasuk 12 yang mayatnya dibawa ke sebuah hospital di Mokha, kata pegawai perubatan.

Sejumlah 12 lagi mayat pemberontak ditemui tentera yang sedang mara dan dikebumikan di Mokha, manakala lapan askar terbunuh, kata tentera dan pegawai perubatan.

Angkatan yang setia kepada Hadi dan disokong pakatan memulakan serangan besar-besaran sejak 7 Januari lalu untuk menawan semula pesisir pantai strategik yang menghadap Selat Bab al-Mandeb itu.

Lebih 400 pejuang terbunuh sejak tentera kerajaan melancarkan operasi untuk mengusir mereka sehingga ke pesisir pantai Laut Merah. - AFP

Berita Harian X