Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:08pm

4 mangsa termasuk dua kanak-kanak cedera ditikam

DUA kanak-kanak dan dua dewasa ditemui ditikam dalam sebuah rumah di pinggir Dayton. - Foto Agensi
DUA kanak-kanak dan dua dewasa ditemui ditikam dalam sebuah rumah di pinggir Dayton. - Foto Agensi

OHIO: Dua kanak-kanak dan dua dewasa ditemui ditikam dalam sebuah rumah di pinggir Dayton, semalam selepas polis menerima satu panggilan kecemasan.

Polis Kettering berkata, semua mangsa dibawa ke hospital, dan seorang daripadanya dipercayai suspek kejadian berkenaan.

Jurucakap polis, John Jung, berkata siasatan awal mendapati kecederaan yang dialami mangsa tidak serius, tetapi pihak hospital masih memantau keadaan mereka.

Jung juga berkata, kecederaan yang dialami semua mangsa adalah konsisten akibat penggunaan pisau.

Malah, katanya, suspek yang ditahan juga mengalami kecederaan akibat ditikam dengan pisau.

Yang turut cedera, kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun serta lelaki berusia 72 tahun.

Sementara itu, rakaman audio panggilan ke talian 911 yang disiarkan semalam, merekodkan suara seorang lelaki yang memberitahu: "Anak lelaki saya menikam kedua-dua kanak-kanak".

Lelaki itu juga didengari berkata: "penyerang pergi ke tingkat bawah tanah rumah itu".

"Tolong cepat," kata lelaki berkenaan.

Jung berkata, polis kini sedang menyiasat punca kejadian dan berapa ramai berada di dalam rumah berkenaan ketika kejadian berlaku. - AP

Berita Harian X