Jumaat, 3 Februari 2017 | 1:26am

Netanyahu ikrar bina penempatan baharu Tebing Barat

Penempatan baharu Israel di Tebing Barat. - Foto AFP/Getty Image
Penempatan baharu Israel di Tebing Barat. - Foto AFP/Getty Image

AMONA: Perdana Menteri Israel pada Khamis berikrar mewujudkan penempatan baharu Tebing Barat dalam tempoh lebih dua dekad 'secepat mungkin,' berjanji untuk menggantikan rumah peneroka haram yang diarah dirobohkan mahkamah.

Pengumuman Benjamin Netanyahu itu adalah langkah terbaharu melanjutkan pembinaan penempatan Israel susulan pengisytiharan Presiden Donald Trump.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberi isyarat berlembut terhadap pembinaan penempatan, yang dianggap tidak sah oleh masyarakat antarabangsa.

Netanyahu berkata demikian ketika pasukan keselamatan Zionis selesai menjalankan pengusiran di bandar ini, apabila mereka menyerbu sebuah rumah ibadat awal semalam untuk mengusir 200 penunjuk perasaan yang berkumpul.

Kerajaan pro-penempatan Netanyahu gagal menyekat pengusiran di sini. Namun Mahkamah Tinggi Israel menolak semua rayuan selepas mendapati penempatan dibina secara haram dua dekad lalu di atas tanah persendirian Palestin.

Menurut pemerhati anti-penempatan Israel, Peace Now, negara Zionis itu belum secara rasmi menjalankan upacara pecah tanah untuk penempatan baharu sejak 1992.

Secara keseluruhan, kira-kira 400,000 penduduk Israel tinggal di penempatan Tebing Barat, sebagai tambahan kepada 200,000 lain yang menetap di timur Baitulmaqdis.

Penduduk Palestin menuntut kedua-dua kawasan, ditawan Israel dalam perang Asia Barat 1967, sebagai sebahagian negara akan datang mereka. -AP

Berita Harian X