Rabu, 1 Februari 2017 | 7:56pm
KEJAYAAN polis Thailand menangkap seorang daripada pengedar dadah utama Asia Tenggara, Xaysana Keopimpha.
KEJAYAAN polis Thailand menangkap seorang daripada pengedar dadah utama Asia Tenggara, Xaysana Keopimpha.

Raja dadah 'Mr X' akui bekal dadah kepada sindiket Malaysia

BANGKOK: Kejayaan polis Thailand menangkap seorang daripada pengedar dadah utama Asia Tenggara, Xaysana Keopimpha, baru-baru ini membolehkan pihak berkuasa membongkar banyak maklumat mengenai operasi rangkaian yang diketuai warga Laos itu.

Xaysana yang dikenali sebagai 'Mr X', 41, disifatkan sebagai raja dadah rantau ASEAN oleh pihak berkuasa Thailand berikutan kedudukannya sebagai peneraju rangkaian dadah di rantau ini, ditangkap di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 19 Januari lalu.

Pihak berkuasa Thailand berkata Xaysana juga mempunyai kepentingan perniagaan dalam pelbagai bidang di Laos, termasuk perhotelan, kilang papan dan pengedaran kereta.

Ketua Biro Pencegahan Narkotik Thailand (NSB), Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, berkata antara maklumat yang dicungkil daripada 'Mr X' itu ialah berkaitan hubungannya dengan sindiket dadah Malaysia.

"Semua kes (besar) membabitkan sindiket yang cuba menyeludup dadah dari Thailand ke Malaysia itu menjurus kepada pembabitan Xaysana. Sindiket Malaysia berkenaan memperoleh dadah daripada rangkaian Xaysana," kata Sommai dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Katanya, siasatan menunjukkan sindiket Malaysia itu menjadi dalang dalam cubaan 21 rakyat Malaysia pada Mac tahun lalu untuk menyeludup 226 kilogram (kg) syabu dan 8 kg heroin dengan menggunakan kereta api.

Beliau berkata, 15 daripada lelaki itu ditangkap pihak berkuasa Thailand ketika dalam perjalanan dengan kereta api ke Butterworth dari Bangkok, manakala enam yang lain ditahan ketika menuju ke sempadan dengan sebuah van.

Katanya, mereka dikenakan pertuduhan dan sedang menunggu untuk dibicarakan.

"Kami terus menyiasat untuk mencungkil lebih banyak maklumat. Kami menjejaki sindiket itu hingga membawa kepada penangkapan baharu. Semuanya menunjukkan terdapat kaitan dengan sindiket dadah yang sama dari Malaysia, " katanya.

Katanya, dalam satu operasi susulan pada 30 Mac tahun lalu, pihak berkuasa Thailand menahan dua rakyat Malaysia yang menaiki dua kereta bersama 282 kg syabu di pusat pemeriksaan Imigresen Sadao dan siasatan mendapati ia juga mempunyai kaitan dengan rangkaian Xaysana.

Katanya, pihak berkuasa Thailand meneruskan siasatan mereka dan menggagalkan satu lagi cubaan untuk menyeludup 500 kg syabu ke Malaysia pada 17 Disember lalu berikutan penangkapan tujuh rakyat Thailand di Chumphon.

"Semua kes ini mempunyai kaitan antara satu dengan lain serta didalangi sindiket yang sama dari Malaysia dan siasatan menunjukkan ia membabitkan Xaysana," kata Sommai, sambil menjelaskan bahawa dua rakyat Malaysia yang ditangkap di Chumphon pada 11 Dis itu juga mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

Dalam operasi di Chumphon, pihak berkuasa Thailand mendapati 52.4kg heroin tulen dan 41kg syabu disorok dalam kereta mereka dan dadah itu dirancang untuk diseludup ke Pulau Pinang.

BERNAMA

Berita Harian X