Isnin, 30 Januari 2017 | 1:41pm

Polis tingkat kawalan masjid di New York

PEGAWAI Polis New York (NYPD). - Foto AP
PEGAWAI Polis New York (NYPD). - Foto AP

NEW YORK: Jabatan Polis New York (NYPD), semalam, meningkatkan rondaan di semua masjid dan lain-lain rumah ibadat di bandar raya ini.

Ia berikutan serangan di sebuah masjid di Quebec City yang mengorbankan lima nyawa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam semalam, NYPD berkata, kakitangan Unit Tindak Balas Kritikal 'ditugaskan melanjutkan rondaan' di masjid tertentu.

"NYPD memberikan perlindungan tambahan kepada semua masjid di bandar raya ini.

"Semua penduduk perlu berwaspada. Jika anda ternampak sesuatu, segera maklumkan (pihak berkuasa).

"Doa kami bersama-sama penduduk Quebec City yang berhadapan serangan dahsyat ke atas masjid. Kita mesti bersatu," katanya Datuk Bandar New York, Bill Blasio dalam Twitter.

Dalam kejadian pada waktu solat kira-kira jam 8.00 malam tadi, tiga penyerang melepaskan tembakan di dewan solat lelaki masjid berkenaan.

Presiden Pusat Kebudayaan Islam Quebec City, Mohamed Yangui, berkata lima terkorban dalam kejadian itu.

"Kira-kira 60 hingga 100 orang mungkin berada di dalam masjid itu," katanya.

Sementara itu, pihak polis berkata, masjid itu sudah dikosongkan dan keadaan kini kembali terkawal.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, segera melahirkan ucapan takziah menerusi media sosial.

"Malam ini, rakyat Kanada bersedih kerana ada mangsa yang terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh 'pengecut' ke atas masjid di Quebec City. Saya mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga," katanya dalam Twitter.

Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan untuk menghulurkan segala bantuan yang diperlukan. - AP

Berita Harian X