Ahad, 29 Januari 2017 | 11:39am

Kanada terima pelarian dengan tangan terbuka

PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau (kiri).
PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau (kiri).

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menghadirkan nada ceria menerusi tweet akaun rasminya dengan mengalu-alukan kedatangan pelarian ke negara itu - berbanding larangan Presiden Donald Trump terhadap kemasukan pelarian dan pelawat beragama Islam ke Amerika Syarikat (AS).

"Kepada anda yang melarikan diri daripada penganiayaan, kezaliman dan peperangan, rakyat Kanada mengalu-alukan kedatangan anda tanpa mengira apa juga agama anda. Kepelbagaian adalah kekuatan kami #WelcomeToCanada (selamat datang ke Kanada)," kata Trudeau menerusi entri akaun Twitter rasminya.

Sambutan Trudeau itu dinyatakan sehari selepas Trump menandatangani arahan eksekutif bagi menggantung kedatangan pelarian untuk sekurang-kurangnya 120 hari dan melaksanakan kawalan ketat terhadap pengunjung dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Syria dan Yaman bagi tempoh tiga bulan akan datang.

Sejak itu, pelawat dari negara berkenaan dilarang menaiki pesawat ke AS, sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan dan penahanan di banyak lapangan terbang.

Mereka sudah dalam perjalanan ketika Trump menandatangani arahan berkenaan, ditahan sejurus tiba ke AS, lapor The New York Times.

Semalam, pesawat Kanada, WestJet, berkata akan memulangkan wang penumpang yang dilarang ke AS susulan dasar baharu berkenaan.

"WestJet akan mematuhi arahan eksekutif itu," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.

"Kita mempunyai penumpang dari negara terbabit yang menaiki WestJet dan dilarang memasuki AS. Kita akan mengembalikan sepenuhnya tambang yang dibayar."

Menurut bancian terbaru Kanada, satu daripada lima penduduk negara itu dilahirkan di negara lain sejak 2011.

Perangkaan kerajaan menunjukkan, Kanada menerima lebih daripada 39,670 pelarian Syria antara November 2015 hingga awal bulan ini. - AFP

Berita Harian X