Khamis, 26 Januari 2017 | 12:48am

Israel mahu bina stesen kereta api laju hampir dengan Masjid Al-Aqsa

ISRAEL melanjutkan rancangan meluaskan laluan kereta api berkelajuan tinggi ke stesen Tembok Barat, walaupun kontroversi hebat yang mungkin tercetus akibat tindakan itu. - Foto www.yahoo.com
ISRAEL melanjutkan rancangan meluaskan laluan kereta api berkelajuan tinggi ke stesen Tembok Barat, walaupun kontroversi hebat yang mungkin tercetus akibat tindakan itu. - Foto www.yahoo.com

BAITULMAQDIS: Israel melanjutkan rancangan meluaskan laluan kereta api berkelajuan tinggi ke stesen Tembok Barat, walaupun kontroversi hebat yang mungkin tercetus akibat tindakan itu.

Seorang jurucakap berkata, Menteri Pengangkutan Yisrael Katz sudah mengarahkan kajian perancangan dan kewajaran projek itu.

November lalu, Katz berkata, beliau mahu melanjutkan laluan kereta api laju yang ketika ini dibina antara Tel Aviv dan Bailtulmaqdis dengan memasukkan stesen Tembok Barat.

Ketika itu, Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengecamnya sebagai satu 'projek penjajahan.'

Tembok Barat terletak dalam Bandar Lama di timur Baitulmaqdis, dikuasai Israel pada 1967 dan kemudian diduduki dalam tindakan tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Ia berada dalam kawasan utama konflik Israel-Palestin, dengan Tembok Barat terletak di bawah perkarangan masjid Al-Aqsa.

Di bawah pelan rangkaian kereta api itu, sebuah terowong perlu digali pada kedalaman 80 meter untuk menyambungkan stesen pusat di pintu masuk di sini ke stesen Tembok Barat.

Kos projek dianggarkan kira-kira AS$510 juta (RM2.26 bilion), menurut jurucakap. -AFP

Berita Harian X