Rabu, 18 Januari 2017 | 2:00am

Suspek penyerang kelab malam Istanbul 'mengaku'

ABDULGADIR Mashripov.
ABDULGADIR Mashripov.

ISTANBUL: Suspek utama serangan kelab malam di Istanbul yang mengorbankan 39 orang pada malam sambutan Tahun Baharu mengaku melakukan serangan itu hari ini selepas beberapa jam ditahan polis.

Pihak berkuasa Turki menahan Abdulgadir Mashripov, 34, dalam operasi besar-besaran di Istanbul bersama tiga wanita dan seorang lelaki warga Iraq. Dia bebas selama 17 hari selepas melakukan serangan yang turut diakui militan Daesh.

"Pengganas mengaku atas jenayah yang dilakukan. Dia dilatih di Afghanistan dan menguasai empat bahasa. Dia adalah pengganas terlatih," kata Gabenor Istanbul Vasip Sahin kepada wartawan.

Katanya, cap jari lelaki itu berpadanan dengan penyerang dan mengesahkan dia adalah warga Uzbekistan. Dia dipercayai masuk ke Turki kali pertama pada Januari 2016.

Ketika serbuan polis turut merampas wang tunai AS$197,000 (RM879,000) dan dua senjata api. - AFP

Berita Harian X