Isnin, 9 Januari 2017 | 10:45pm

Abbas tulis surat kepada Trump

MAHMUD Abbas. - Foto AFP
MAHMUD Abbas. - Foto AFP

RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmud Abbas menulis surat kepada Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesanya supaya tidak memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis, kata media rasmi Palestin hari ini.

Agensi berita Palestin, Wafa tidak mengatakan bila surat itu dihantar namun berkata, ia bertujuan menjelaskan "risiko" memindahkan kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Abbas memberi amaran, tindakan itu mungkin memberi "kesan buruk terhadap proses damai, penyelesaian dua negara dan kestabilan serta keselamatan keseluruhan rantau," kata Wafa.

Trump berkata, beliau bercadang memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dalam satu tindakan kontroversi ditentang rakyat Palestin sebagai tindakan sebelah pihak, sementara status bandar itu dipertaruhkan.

Israel menyokong tindakan itu dan menggalakkan presiden sebelumnya mengambil langkah sama namun tidak berjaya.

Abbas juga menghantar surat kepada kuasa dunia lain termasuk Russia, China dan Kesatuan Eropah, menggesa mereka "tidak berlengah lagi" menghalang AS daripada mengambil tindakan itu.

Rakyat Palestin menganggap timur Baitulmaqdis yang diduduki Israel sebagai ibu kota negara mereka, sementara Israel mendakwa keseluruhan bandar itu sebagai ibu kota tunggal.

AS dan kebanyakan negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan status bandar itu menjadi satu isu besar dalam konflik berdekad Israel-Palestin.

Jurucakap Trump, Kellyanne Conway bulan lalu memberitahu sebuah saluran radio AS, memindahkan kedutaan itu adalah "keutamaan amat besar" buat presiden dipilih. Beliau juga mencalonkan David Friedman, seorang penyokong penempatan haram Israel di Tebing Barat sebagai duta ke negara Yahudi itu. -AFP

Berita Harian X