Khamis, 22 Disember 2016 | 3:38pm

Nigeria rampas beras plastik diimport dari China

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

ABUJA: Nigeria merampas lebih 100 beg beras plastik yang diseludup masuk ke negara itu yang berdepan dengan situasi kenaikan mendadak harga makanan ruji menjelang perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baru.

Seorang suspek ditahan berhubung rampasan 102 beg beras tiruan itu, yang berbahaya kepada manusia.

Ia dipercayai diseludup atau diangkut secara haram dari China menerusi pelabuhan Lagos, kata pegawai kanan kastam di hab komersial Nigeria itu.

Beg dengan kandungan seberat 50 kilogram itu, dilabel sebagai 'Beras Tomato Terbaik', tidak mempunyai tarikh pengeluaran dan dipintas pada Isnin di kawasan Ikeja di Lagos.

"Kami sudah melakukan analisis awal beras plastik. Selepas memasaknya, ia melekit dan cuma Tuhan yang tahu apa akan jadi jika orang ramai memakannya," kata pegawai kastam Ikeja, Mohammed Haruna.

Nigeria mengharamkan beras import kerana mahu menggalakkan pengeluaran beras tempatan.

Haruna berkata, beras plastik itu akan dijual menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baru, ketika harga makanan ruji itu semakin mahal berikutan inflasi.

Beg dengan berat kandungan 50 kilogram dijual pada harga 20,000 naira (RM218), lebih dua kali ganda daripada harga asal pada Disember tahun lalu.

Jabatan Kastam menghantar beras tiruan itu kepada Pentadbiran dan Kawalan Makanan dan Ubat-Ubatan Kebangsaan untuk analisis lanjut. - Agensi

Berita Harian X