ANKARA: Penyiasat Russia tiba di ibu negara Turki, hari ini dengan misi mahu memastikan sama ada pembunuhan duta mereka, Andrei Karlov, hanya membabitkan seorang lelaki bersenjata atau pun satu konspirasi yang lebih besar.
Kedua-dua negara yang menyokong pihak bertentangan dalam perang Syria tidak mahu kejadian itu menjejaskan usaha memperbaiki hubungan mereka.
Menurut jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov, seramai 18 penyiasat Russia dan pegawai Kementerian Luar pergi ke Turki untuk menyiasat pembunuhan itu.
Duta berusia 62 tahun itu ditembak mati ketika memberi ucapan pada majlis pameran foto di sebuah galeri, di sini, semalam.
Mayat Karlov dan keluarganya akan dibawa pulang ke Russia dengan pesawat yang membawa kumpulan penyiasat terbabit.
Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, berkata Turki dan Russia akan bekerjasama untuk mencari dalang 'serangan kejam pengganas' terhadap Karlov.
"Turki dan Russia sudah menunjukkan kepada dunia apa yang boleh dicapai apabila mereka bekerjasama," kata Cavusoglu ketika hadir mesyuarat dengan Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, di Moscow.
Pegawai pertahanan Turki, Russia dan Iran turut hadir dalam pertemuan itu. - AP