Selasa, 6 Disember 2016 | 10:34pm

Arab Saudi hukum mati 15 orang atas dakwaan mengintip

RIYADH: Sebuah mahkamah Arab Saudi hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas 15 orang dituduh mengintip untuk musuhnya, Iran, kata media tempatan dan sumber rapat dengan kes itu, tindakan yang mungkin meningkatkan ketegangan serantau.

Sumber memberitahu AFP, majoriti daripada 15 rakyat tempatan adalah anggota minoriti Syiah di negara pentadbiran diraja itu.

Perbicaraan mereka dibuka Februari lalu, sebulan selepas Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Tehran berikutan insiden kebakaran kedutaan Arab Saudi dan sebuah konsulat oleh penunjuk perasaan Iran yang membantah hukuman mati ulama Iran, Nimr al-Nimr.

Dakwaan paling serius ke atas mereka adalah pemberontakan.

Media Arab Saudi melaporkan, pendakwa raya membuat tuduhan tertuduh mendedahkan rahsia pertahanan, cuba melakukan sabotaj, merekrut pengintip dalam jabatan kerajaan, menghantar maklumat berkod dan menyokong 'rusuhan' di daerah timur Qatif dikuasai Syiah.

Lima belas tertuduh adalah antara sekumpulan 32 orang yang dibicarakan atas tuduhan mengintip, kata akhbar Alriyadh di laman webnya.

Sesetengah defendan dituduh bertemu pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Sumber rapat dengan kes berkata, hukuman mati itu akan dirayu. Dua orang dibebaskan sementara yang lain menerima hukuman penjara antara enam bulan dan 25 tahun.

Tertuduh terdiri daripada seorang warga Iran, seorang Afghanistan manakala yang lain rakyat tempatan. Daripada dua yang dibebaskan, seorang daripadanya rakyat asing. -AFP

Berita Harian X