Isnin, 28 November 2016 | 7:39am

Raja puak Uganda ditahan selepas pertempuran

RAJA Charles Wesley Mumbere
RAJA Charles Wesley Mumbere

KAMPALA: Polis Uganda menyerbu istana seorang raja puak dan menangkapnya selepas pertembungan ganas antara pasukan keselamatan dan militia pemisah yang dipercayai ada kaitan dengannya.

Pertempuran sengit meletus di bandar barat Kasese, didiami Raja Charles Wesley Mumbere dari istana Rwenzururu, apabila pengawal diraja menyerang pasukan keselamatan, menyebabkan 14 pegawai polis dan 41 militan terbunuh, kata jurucakap polis, Andrew Felix Kaweesi.

Presiden Yoweri Museveni menelefon raja terbabit dan mengarahkannya membubarkan pengawal, dipercayai sebahagian militia yang mahu menubuhkan republik bebas merentasi Uganda dan Congo.

"Kami mengambil masa bercakap dengan raja untuk mengarahkan pengikutnya keluar namun beliau enggan. Satu-satunya pilihan ialah menyerbu istana dan mengarahkan mereka keluar untuk keselamatan dirinya," kata Kaweesi.

Katanya, beliau perlu menjelaskan pembabitannya dalam insiden itu dan mungkin dibawa ke bandar ini untuk didakwa menghasut keganasan.

Museveni secara rasmi mengiktiraf pentadbiran diraja itu pada 2009. -AFP

Berita Harian X