Ahad, 27 November 2016 | 9:49pm

Trump anggap kiraan semula undi satu 'penipuan'

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AP
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan persediaan proses kiraan semula di Wisconsin adalah satu penipuan, menegaskan kemenangannya perlu dihormati, bukan dicabar dan disalah guna.

Trump berkata, kiraan semula itu yang diminta calon Parti Hijau, Jill Stein, yang menerima minit undian keseluruhan, 'sudah dianggap tewas.'

Pasukan kempen calon Demokrat, Hillary Clinton, berkata ia akan menyertai kiraan semula walaupun tidak melihat sebarang kejanggalan dalam persaingan yang dimenangi Trump itu.

Peguam Clinton, Marc Erik Elias, berkata dalam kenyataan di Medium.com, pasukan itu akan turut mengambil bahagian dalam pengiraan semula di Michigan dan Pennsylvania jika diatur. Stein juga mengumumkan pelan memohon kiraan semula di dua negeri itu.

Dalam satu kenyataan, Trump menegaskan, rakyat sudah bersuara dan pilihan raya berakhir seperti ditegaskan sendiri oleh Clinton pada malam proses pengundian, selain mengaku kalah dengan mengucapkan tahniah kepadanya, 'rakyat mesti menerima keputusan itu dan memandang masa hadapan.'

Trump menang di Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin dengan cuma 100,000 undian. Kemenangan tipis di negeri berkenaan meletakkan beliau mengatasi 270 undian badan perwakilan pemilih yang diperlukan.

"Penting untuk menyatakan dengan bantuan jutaan pengundi di seluruh negara, kita menang 306 undian pada hari pengundian, paling banyak pernah diperoleh Republikan sejak 1988.

"Ini penipuan Parti Hijau bagi pilihan raya yang sudah pun diakui, keputusan pilihan raya perlu dihormati, bukan dicabar dan disalah guna, yang sedang dilakukan Jill Stein," katanya.

Bagaimanapun, ketika berkempen Trump sendiri mengancam untuk menolak keputusan jika kalah, mendakwa persaingan itu dicemari media dan golongan elit.

Elias berkata, disebabkan mereka tidak menemui sebarang bukti pencerobohan atau cubaan luar untuk mengubah suai teknologi undian, mereka tidak merancang membuat kiraan semula.

"Namun kini ada proses pengiraan semula dicetuskan di Wisconsin, kami berhasrat mengambil bahagian dalam memastikan proses itu berlangsung dalam keadaan yang adil kepada semua pihak," katanya. - AFP

Berita Harian X