Khamis, 24 November 2016 | 10:35am

Ulama antara 5 dihukum mati kerana bakar pasangan Kristian

LAHORE: Seorang ulama adalah antara lima yang dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah antikeganasan Pakistan pada Rabu kerana membakar hidup-hidup pasangan Kristian selepas menuduh mereka menghina Islam pada 2014.

Hakim Chaudhry Muhammad Azam membacakan keputusan selepas pendakwa mengemukakan semua saksi.

Beliau menjatuhkan hukuman mati ke atas lima suspek termasuk seorang ulama dan juga mengenakan denda Rs 200,000 (RM8,395) kerana membunuh pasangan itu.

Lapan suspek lain dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Menurut kertas pertuduhan, suspek mengumpulkan orang ramai dengan membuat pengumuman di masjid bahawa sepasang suami isteri Kristian, Shahzad dan Shama, menghina Islam di Kot Radha Kishan di daerah Kasur, kira-kira 50 kilometer dari Lahore pada November 2014.

Kira-kira 600 penduduk Islam diketuai ulama wilayah itu tiba di lokasi membakar bata, tempat pasangan itu bekerja sebagai buruh dan mengheret mereka keluar dari bilik selepas memecah masuk.

Mereka disiksa dahulu dan kemudian dihumban ke dalam oven pembakar bata. Tiada siapa pun menghiraukan rayuan pasangan itu yang menegaskan mereka tidak bersalah.

Pasangan berkenaan mempunyai tiga anak dan Shama hamil ketika kejadian. - AGENSI

Berita Harian X