Khamis, 24 November 2016 | 12:56am
DONALD Trump (kiri) dan Hillary Clinton. - Foto AFP
DONALD Trump (kiri) dan Hillary Clinton. - Foto AFP

Pakar ada bukti undian di 3 negeri utama AS dimanipulasi

NEW YORK: Sekumpulan saintis komputer dan peguam terkenal menggesa Hillary Clinton mencabar keputusan pilihan raya di tiga negeri utama di Amerika Syarikat (AS) selepas mereka mengumpul "bukti" mendakwa keputusan pemilihan itu kemungkinan dimanipulasi.

Kumpulan aktivis, termasuk peguam hak mengundi John Bonifaz dan J Alex Halderman, pengarah pusat keselamatan komputer dan masyarakat Universiti Michigan, percaya bukti mereka menunjukkan keputusan di tiga negeri medan pertempuran itu, di mana Clinton kalah 8 November lalu, mungkin digodam.

Seperti dilaporkan New York Magazine, kumpulan itu secara persendirian melobi pasukan Clinton untuk mencabar keputusan pilihan raya.

Di Wisconsin, Clinton menerima tujuh peratus kurang undian di daerah yang bergantung kepada mesin pengundian elektronik berbanding daerah yang menggunakan imbasan optik dan kertas undi, dan pada akhirnya anggota Demokrat itu hilang sehingga 30,000 undian. Beliau kalah di Wisconsin dengan 27,000 undi.

Kumpulan itu sudah mengadakan pertemuan dengan pengerusi kempen Clinton, John Podesta dan peguam kempen Marc Elias, berhujah bahawa ketika mereka tidak menemui bukti muktamad insiden godaman, corak dalam keputusan pilihan raya itu memerlukan semakan bebas.

Clinton tidak memberi sebarang bayangan beliau akan mencabar keputusan itu dan Rumah Putih berhasrat melakukan peralihan lancar. Tarikh akhir untuk memfailkan satu kiraan semula undi adalah antara Jumaat dan Rabu depan untuk tiga negeri terbabit, Wisconsin, Michigan dan Pennsylvania.

Trump memperoleh 290 undian badan perwakilan pemilih berbanding 232 untuk Clinton. Michigan kemungkinan diberi kepada Republikan, namun Clinton perlu memenangi Michigan dan mengubah keputusan di Wisconsin dan Pennsylvania untuk memenangi badan perwakilan pemilih.

Satu lagi faktor digelar "pengundi pengkhianat" yang tidak akan mengundi calon undian popular di negeri mereka. Setakat ini enam pengundi badan perwakilan pemilih berkata tidak akan mengundi untuk Trump.

Sementara itu, lebih 4.5 juta orang menandatangani petisyen supaya lebih ramai delegasi badan perwakilan pemilih menentang arahan diberi kepada mereka di setiap negeri.

Ada 157 pengundi pengkhianat dalam sejarah namun ia tidak pernah mengubah keputusan pilihan raya.

Heba Abedin, adik perempuan pembantu atasan Clinton, Huma Abedin, menggesa di Facebook supaya rakyat menelefon jabatan kehakiman dan memohon audit pilihan raya. -Agensi

Berita Harian X