Isnin, 14 November 2016 | 4:03pm

Trump buat dua pelantikan utama

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto Reuters
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menamakan seorang pegawai kanan parti Republikan dan seorang ketua media konservatif dalam pentadbirannya.

Dalam perkembangan terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Republikan Kebangsaan (RNC), Reince Priebus dilaporkan bakal menjadi Ketua Staf pentadbiran beliau.

Jawatan itu memerlukan calon terbabit menentukan hala tuju baharu di Rumah Putih selain bertindak sebagai wakil antara Kongres dan kerajaan.

Ketua agensi media haluan kanan, Breitbart News Network, Stephen Bannon pula akan bertindak sebagai ketua strategi Trump.

Trump dijangka mengambil alih jawatan Presiden pada 20 Januari, ketika Barack Obama melepaskan jawatan selepas dua penggal memerintah.

"Saya teruja mempunyai pasukan berjaya untuk bersama-sama menerajui negara kita," kata Trump dalam satu kenyataan yang diterbitkan kempen beliau.

"Steve dan Reince adalah pemimpin berkelayakan tinggi. Mereka akan bekerjasama dalam kempen kami dan membawa kita ke arah kemenangan bersejarah.

"Sekarang saya akan memiliki mereka berdua bersama kita di Rumah Putih untuk menjadikan Amerika kembali hebat."

Priebus, 44, sebelum ini bertindak sebagai pengantara antara Trump dan parti Republikan ketika kempen pilihan raya berlangsung. - AGENSI

Berita Harian X