Selasa, 1 November 2016 | 10:19pm

15,000 penduduk dibantu susulan gempa bumi di Itali

SEORANG anggota bomba melihat sebuah rumah yang musnah akibat gempa bumi di perkampungan San Pellegrino, dekat Norcia. - Foto AFP
SEORANG anggota bomba melihat sebuah rumah yang musnah akibat gempa bumi di perkampungan San Pellegrino, dekat Norcia. - Foto AFP

NORCIA: Pihak berkuasa Itali hari ini berkata, kerajaan memberi bantuan kepada lebih 15,000 penduduk yang hilang kediaman dalam kejadian gempa bumi Ahad lalu, bencana terburuk dalam tempoh hampir 40 tahun.

Walaupun tiada kematian dalam gempa berukuran 6.6 magnitud di bahagian tengah negara, gegaran kuat kali ketiga sejak dua bulan lalu menyebabkan ribuan rumah di beberapa perkampungan dan bandar kecil musnah atau tidak selamat diduduki.

Kebanyakan penduduk di kawasan yang musnah itu menumpang di rumah rakan dan saudara mara, sementara menunggu kebenaran pihak berkuasa untuk kembali ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, agensi perlindungan negara berkata, ia menyediakan bantuan kepada 15,000 mangsa gempa Ahad lalu, yang menyebabkan beberapa bangunan retak di Rom, kira-kira 120 kilometer (75 batu) dari dari pusat gempa berhampiran bandar Umbria Norcia.

Kira-kira 4,000 penduduk dari kawasan paling teruk dilanda bencana sekitar Norcia sudah dihantar ke hotel di pantai Adriatik, manakala 500 lagi menaiki bas ke pedalaman Tasik Trasimeno.

Lebih 10,000 mangsa tinggal di dewan sukan dan beberapa kemudahan sementara lain, termasuk khemah di seluruh Umbria dan kawasan berdekatan di Marche, menurut agensi perlindungan itu. - AFP

Berita Harian X