Ahad, 30 Oktober 2016 | 9:39am

PM Serbia dipindah ke lokasi selamat

PERDANA Menteri Serbia yang pro-Eropah, Aleksandar Vucic. -Foto AP
PERDANA Menteri Serbia yang pro-Eropah, Aleksandar Vucic. -Foto AP

BELGRADE: Perdana Menteri Serbia yang pro-Eropah, Aleksandar Vucic, dipindahkan ke lokasi selamat selepas senjata termasuk pelancar roket ditemui berhampiran rumahnya, yang disifatkan menteri sebagai 'persediaan membunuhnya.'

Pihak berkuasa mendapat maklumat daripada orang awam yang menemui koleksi senjata dalam hutan berhampiran rumah Vucic di Jajinci, selatan Belgrade, kata Menteri Dalam Negeri, Nebojsa Stefanovic, kepada wartawan.

"Ada pelancar roket, empat bom tangan dan sejumlah besar peluru bagi raifal automatik 7.62 milimeter dan raifal penembak tepat 7.9 milimeter.

"Apa yang membimbangkan adalah senjata itu ditemui beberapa puluh meter dari persimpangan ke rumah Perdana Menteri," katanya, menambah konvoi Vucic akan menjadi sasaran amat mudah.

Bekas sekutu bekas Presiden Slobodan Milosevic berusia 46 tahun itu kerap menonjolkan semula dirinya sebagai tokoh pembaharuan pro-Kesatuan Eropah (EU).

Serbia digegarkan dengan pembunuhan Perdana Menteri pro-EU, Zoran Djindjic, pada 2003.

Menteri Buruh dan veteran perang, Aleksandar Vulin menuntut perkhidmatan keselamatan dan perisikan memberikan jawapan mengenai siapa yang melakukan persediaan membunuh Vicic. - AFP

Berita Harian X