Selasa, 25 Oktober 2016 | 3:42pm

12 maut serangan bom di Kenya

SEORANG lelaki memeriksa kerosakan di sebuah rumah tetamu di timur laut Kenya selepas kejadian itu. - Foto EPA
SEORANG lelaki memeriksa kerosakan di sebuah rumah tetamu di timur laut Kenya selepas kejadian itu. - Foto EPA

NAIROBI: Sekurang-kurangnya 12 terbunuh dalam satu letupan bom di sebuah rumah tetamu di timur laut Kenya, kawasan yang sama menjadi sasaran militan al-Shabaab awal bulan ini, kata polis.

Menurut sumber polis, mereka yang terbunuh terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita. Letupan dikatakan berlaku kira-kira 3.30 petang waktu tempatan, di Rumah Tetamu Bishar.

"Kami menjumpai 12 mayat setakat ini selepas kami berjaya memasuki bangunan itu. Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan polis anti-pengganas dan anjing pengesan," kata seorang pegawai kanan polis kepada AFP.

Ketua Polis Daerah Mandera, Job Boronjo turut mengesahkan jumlah kematian kepada media Kenya. Serangan itu adalah serangan kedua di Mandera dalam tempoh sebulan.

Serangan pertama pada 6 Oktober lalu, mengorbankan enam nyawa, membabitkan bangunan kediaman bukan etnik Somalia dan bukan Islam. Militan rangkaian al-Qaeda, Kumpulan al-Shabaab mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu. - AFP

Berita Harian X