Isnin, 17 Oktober 2016 | 8:52pm
ANAK perempuan diktator Filipina, Ferdinand Marcos, memohon maaf semalam ketika mengetuai perhimpunan di Mahkamah Agung. - Foto AFP
ANAK perempuan diktator Filipina, Ferdinand Marcos, memohon maaf semalam ketika mengetuai perhimpunan di Mahkamah Agung. - Foto AFP

Anak perempuan Marcos mohon maaf

MANILA: Anak perempuan diktator Filipina, Ferdinand Marcos, memohon maaf semalam ketika mengetuai perhimpunan di Mahkamah Agung, menggesa ia membenarkan mendiang bapanya dikebumikan sebagai pahlawan.

Kira-kira 1,000 penyokong berkumpul dengan Imee Marcos di mahkamah, yang mungkin mengumumkan sama ada ia meluluskan arahan Presiden Rodrigo Duterte supaya membenarkan Marcos dikebumikan di Perkuburan Pahawan Negara di Manila, 27 tahun selepas beliau meninggal dunia.

Imee, gabenor di kubu kuat keluarga itu di Ilocos Norte, merujuk Pope Francis ketika menggesa mangsa hak asasi manusia dan pengkritik diktator berkenaan menghentikan kempen mereka menentang rancangan pengebumian itu.

"Kepada mereka yang mengkritik dan tidak sependapat dengan kami, saya harap anda ketepikan kemarahan.

"Semua kita ada rasa marah dan benci dalam hati tetapi kita perlukan ketepikan perasaan itu, seperti dikatakan Pope: 'Apabila memaafkan, kira bebas dan gembira'," kata Marcos kepada wartawan di luar Mahkamah Agung.

Bagaimanapun, beliau tetap dengan pendirian bahawa bapanya, yang dituduh menggelapkan berbilion wang negara dan melakukan pencabulan hak asasi manusia ketika memerintah selama 21 tahun, adalah kuasa positif kepada negara itu.

Diktator itu dan isterinya, Imelda, membawa keluarga mereka tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat pada 1986 selepas revolusi 'Kuasa Rakyat' yang disokong tentera menyingkirkan beliau.

Marcos meninggal dunia di Hawaii tiga tahun kemudian. Mayatnya yang diawet dibawa balik ke Filipina pada 1993 dan diletakkan dalam keranda kaca di rumahnya di utara negara itu.

Presiden selepas itu menolak permintaan keluarganya supaya beliau dikebumikan di pusat perkuburan pahlawan.

Duterte, yang menang besar pada pilihan raya tahun ini, mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Marcos dan menggesa beliau dikebumikan sebagai pahlawan. - AFP

Berita Harian X