Sabtu, 15 Oktober 2016 | 5:10pm

BBC malu besar tersilap siar gambar menteri dengan gorila

PERBADANAN Penyiaran Britain (BBC) berhadapan keaiban besar apabila tersilap menayangkan gambar gorila ketika sepatutnya ia menyiarkan imej Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon.
PERBADANAN Penyiaran Britain (BBC) berhadapan keaiban besar apabila tersilap menayangkan gambar gorila ketika sepatutnya ia menyiarkan imej Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon.

LONDON: Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berhadapan keaiban besar apabila tersilap menayangkan gambar gorila ketika sepatutnya ia menyiarkan imej Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon.

Penyampai program BBC Breakfast, Naga Munchetty dan Charlie Stayt sedang membincangkan kenyataan pemimpin Parti Nasionalis Scotland (SNP) itu mengenai pungutan suara bebas kedua.

Ketika memperkenalkan Sturgeon, gambar yang disiarkan adalah gorila setinggi 2.1 meter, Kumbuka, yang hilang dari Zoo London pada 13 Oktober lalu.

Sturgeon bertemu dengan anggota partinya sempena persidangan rasmi SNP pada 13 Oktober dan berbincang pelbagai subjek, menggariskan mandat parti itu tahun akan datang.

BBC memutuskan untuk menyiarkan klip persidangan dan salah seorang hos berkata: "Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon, akan menyertai kami dan akan berbincang mengenai rancangannya mengadakan pungutan suara bebas kedua."

Ketika itu, gambar Kumbuka, yang sedang duduk sambil memakan rumput muncul di skrin.

Apabila kedua-duanya mengalih pandangan kepada skrin, Stayt, segera memohon maaf di atas kesilapan itu.

Bagaimanapun, sebahagian pengguna Twitter tidak pasti sama ada ia satu kesilapan atau mereka melakukannya dengan sengaja.

Sebahagian penonton mengecam BBC dan bertanya kepada pemimpin SNP itu sama ada beliau mahu mengambil tindakan terhadap perkara itu.

Sementara yang lagi sekadar menganggap ia adalah perkara paling melucukan pernah mereka tonton di televisyen.

Berita Harian X