Ahad, 4 September 2016 | 11:56pm

15 askar Yaman maut dalam serangan pemberontak

ADEN: Sekurang-kurangnya 15 tentera prokerajaan Yaman terbunuh dalam serangan pemberontak di utara negara itu hari ini, kata sumber keselamatan dan tentera.

Sumber tentera berkata, pemberontak Houthi Syiah dan sekutu mereka melancarkan serangan serentak untuk cuba mengambil alih kawalan pelabuhan Midi di wilayah utara di Hajja, selepas tentera setia kepada kerajaan menawannya.

"Seramai 11 askar terbunuh dalam serangan dan 28 lagi cedera," kata seorang pegawai tentera.

Sementara itu, jet pejuang diketuai Arab Saudi menjalankan 15 serangan udara ke atas pemberontak disokong Iran bagi menghentikan kemaraan mereka di kawasan itu, kata sumber.

Serangan udara lain mengenai kedudukan pemberontak di ibu kota dikawal pemberontak di Sanaa dan wilayah lain dalam tempoh 24 jam lalu. -AFP

Berita Harian X