Jumaat, 2 September 2016 | 9:11am

Isteri Trump fail saman terhadap Daily Mail Online

MELANIA Trump. - Foto Reuters
MELANIA Trump. - Foto Reuters

WASHINGTON: Isteri calon presiden Republikan, Donald Trump, memfailkan saman terhadap Daily Mail Online beribu pejabat di Maryland dan seorang blogger berjumlah AS$150 juta (RM613 juta) berhubung pendedahan kisah masa lalunya yang dipercayai 'amat menjejaskan' kehidupan beliau.

Berita Daily Mail bulan lalu memetik laporan majalah Slovenia bahawa agensi peragaan yang disertai Melania Trump di New York pada 1990 juga bertindak sebagai perniagaan gadis pengiring, menyediakan wanita untuk pelanggan kaya bagi tujuan seksual.

Trump memaklumkan akhbar Britain itu dan beberapa pertubuhan media lain pada 22 Ogos lalu bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang, kata peguam Trump, Charles Harder, dalam emel ketika itu, menyifatkan laporan berkenaan 'satu pembohongan.'

"Defendan membuat beberapa kenyataan mengenai Melania yang 100 peratus palsu dan menjejaskan reputasi peribadi dan profesionalnya," kata Harder dalam kenyataan pada Khamis.

Saman difailkan di mahkamah di Montgomery, Maryland.

Saman mendakwa blogger Maryland, Webster Griffin Tarpley, menyiarkan kenyataan palsu dan fitnah mengenai Trump, termasuk bekas model itu mengalami kemurungan melampau.

"Tindakan defendan amat jahat dan membawa kerosakan kepada Melania dan ia dianggarkan AS$150 juta (RM613 juta)," kata kenyataan peguamnya. - REUTERS

Berita Harian X