Isnin, 22 Ogos 2016 | 6:49pm

Semua 15 mangsa bot karam ditemui

JAKARTA: Pencarian mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam yang mengorbankan 15 nyawa, dekat sini, berakhir apabila semua mayat telah ditemui pihak berkuasa.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Tanjung Pinang, Agustiawarman, berkata pencarian berakhir apabila semua mangsa sudah ditemui.

"Hanya dua daripada 17 penumpang bot kayu itu berjaya diselamatkan selepas ia karam ketika laut bergelora pada Ahad lalu di Pulau Bintan, dekat selatan Singapura.

Jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata semalam, usaha mencari dan menyelamat membabitkan 20 kapal serta 50 bot nelayan berdepan cabaran gelombang tinggi dan arus deras.

Katanya, kebanyakan penumpang yang menaiki bot itu adalah pelancong tempatan yang dalam perjalanan ke Pulau Penyengat, kira-kira enam kilometer dari bandar Tanjung Pinang, Bintan.

Nugroho berkata, ada penumpang cuba berenang untuk menyelamatkan diri tetapi gelombang setinggi tiga meter menyebabkan mereka tewas.

Dua kanak-kanak adalah antara mereka yang terkorban. Mangsa yang terselamat terdiri daripada pemandu bot dan seorang penumpang wanita. - AP

Berita Harian X