Ahad, 7 Ogos 2016 | 12:29am

2 ditembak mati di lokasi Olimpik Rio

ANGGOTA polis mengawal di luar Stadium Maracana. - Foto AFP
ANGGOTA polis mengawal di luar Stadium Maracana. - Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Polis menembak mati seorang peragut berhampiran Stadium Maracana, tempat berlangsungnya Sukan Olimpik Rio diadakan, manakala seorang wanita maut berhampiran lokasi lain kejohanan itu, kata polis hari ini.

Keganasan yang berlaku semalam menyebabkan seramai 85,000 askar dan polis terpaksa dikerah mengawal acara sukan itu.

Polis Rio dalam kenyataan berkata, lelaki terbabit dilaporkan meragut orang ramai berhampiran stadium.

"Peragut sedang melakukan serangan sebelum ditembak pegawai polis," menurut kenyataan itu.

Beberapa jam sebelum itu, seorang arkitek maut ketika memandu di pintu masuk utama Olympic Boulevard, kawasan pelabuhan yang dibangunkan semula sebagai lokasi utama obor Olimpik dan menjadi tarikan utama pelancong ke situ.

Polis berkata, wanita berusia 51 tahun itu diserang tiga peragut bersenjata. Mangsa cuba melarikan diri namun ditembak di kepala.

Fokus utama kawalan keselamatan adalah Rio, bandar di mana penyeludup dadah mengawal sebahagian besar kejiranan miskin.

Bagaimanapun, pengerahan askar dan polis, dua kali ganda jumlah digunakan dalam Sukan Olimpik London 2012, turut termasuk bandar di Brasilia, Belo Horizonte, Manaus, Salvador dan Sao Paulo, di mana perlawanan bola sepak diadakan. -AFP

Berita Harian X