Selasa, 2 Ogos 2016 | 2:06pm

Lebih 20 orang dibunuh di Mexico minggu lalu

MEXICO CITY: Lebih 20 orang dibunuh di tiga negeri Mexico yang digegarkan dengan keganasan berkaitan dadah hujung minggu lalu, dengan 11 ditemui mati dalam sehari di Acapulo.

Mangsa di Acapulo ditemui di lima lokasi berbeza di bandar raya Pasifik itu ketika kes bunuh di seluruh negara itu meningkat tahun ini.

Tiga orang dibunuh di bar; dua lelaki dan seorang wanita ditemui mati dalam kereta berhampiran kubur dengan tanda seksaan dan kaki serta tangan diikat; dan tiga mayat digali dari kubur haram di pinggir bandar raya itu.

Dua lagi ditembak mati dalam kejadian berasingan di Acapulo, antara bandar raya paling ganas di luar zon perang di dunia, dengan 111 pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk pada 2015.

Acapulco terletak dalam negeri Guerrero yang menyaksikan tujuh sekeluarga termasuk dua kanak-kanak, ditemui ditembak mati Sabtu lalu di dua rumah di bandar Tepecoacuilco de Trujano.

Di tempat lain di negara itu, seorang anggota tentera dan empat suspek kumpulan dadah maut dalam dua pertempuran pada Ahad di Nuevo Laredo, bandar raya bersempadan Amerika Syarikat di Tamaulipas. Enam lagi anggota tentera cedera.

Anggota tentera diserang selepas bertindak balas kepada laporan pertempuran antara dua kumpulan penjenayah di dua bahagian bandar raya itu. - AFP

Berita Harian X