Khamis, 28 Julai 2016 | 7:49am

120 kes keganasan seksual, rogol di Sudan Selatan

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Sekurang-kurangnya 120 kes keganasan seksual dan rogol terhadap orang awam dilaporkan di ibu negara Sudan Selatan, Juba sejak pertempuran tercetus tiga minggu lalu di antara askar yang setia kepada presiden dan pemimpin pembangkang negara berkenaan.

Pertempuran sengit berlaku membabitkan kereta kebal dan helikopter di Juba selama beberapa hari di antara tentera yang setia kepada Presiden, Salva Kiir dan penyokong Naib Presiden, Riek Machar pada awal bulan ini.

Sekurang-kurangnya 272 orang terbunuh sebelum pemimpin mengarahkan supaya gencatan senjata dilaksanakan.

Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, misi pengaman PBB di Sudan Selatan terus menerima laporan berkaitan 'kes keganasan seksual termasuk rogol dan rogol berkumpulan oleh askar berpakaian seragam dan lelaki berpakaian preman ke atas orang awam termasuk remaja, di sekitar pejabat PBBdan kawasan lain di Juba.

Haq berkata, tentera pengaman PBB menjalankan rondaan dan menyediakan 'perlindungan kepada wanita yang keluar di kawasan Perlindungan Awam untuk mengutip kayu api dan barangan lain.'

PBB memberi perlindungan kepada berpuluh ribu orang di Juba dan tempat lain di Sudan Selatan.

Haq berkata, PBB menggesa semua pihak yang bertelingkah supaya mengheret askar yang bertanggungjawab terhadap 'tindakan ganas berkenaan'.

Sudan Selatan mencapai kemerdekaan dari Sudan pada 2011, tetapi dilanda peperangan saudara selepas Kiir memecat Machar sebagai naib presiden pada 2013.

Lebih 10,000 orang terbunuh dan kira-kira dua juta melarikan diri, kebanyakannya ke negara jiran. - Reuters

Berita Harian X