Selasa, 19 Julai 2016 | 8:08am
ANTARA peserta tunjuk perasaan menentang Donald Trump di Cleveland. - Foto AFP
ANTARA peserta tunjuk perasaan menentang Donald Trump di Cleveland. - Foto AFP

Konvensyen Republikan bertukar jadi majlis anti-Trump

CLEVELAND: Konvensyen Republikan dirasmikan dalam keadaan kecoh hari ini apabila penyokong dan penentang Donald Trump saling menjerit sehingga mengganggu rancangannya untuk diumumkan sebagai calon Rumah Putih dengan lancar.

Cercaan dan jeritan mencemarkan konvensyen di Cleveland, Ohio, itu apabila perpecahan dalam kalangan ribuan perwakilan Republikan semakin jelas.

Anggota Republikan anti-Trump yang marah kerana parti mereka diketuai lelaki yang menggambarkan penduduk Mexico sebagai perogol dan menyokong pengharaman kemasukan umat Islam, meluahkan perasaan apabila skim prosedur melarang mereka mendaftarkan bantahan.

"Suara kami perlu didengari, ini adalah konvensyen rakyat," kata perwakilan dari Virginia, Diana Shores, ketika anggota pro-Trump cuba mengatasi penentang dengan menjerit 'Memalukan! Memalukan!'

Pada perhimpunan empat hari di kawasan dikawal ketat di Cleveland, Trump cuba meredakan pengkritik konservatif dan menyatukan anggota partinya dengan menamakan Gabenor Indiana, Mike Pence, sebagai regunya.

Namun bantahan itu menimbulkan persoalan serius mengenai perpaduan Republikan menjelang pilihan raya November ini. - AFP

Berita Harian X