Rabu, 13 Julai 2016 | 8:39am
Peronda maritim Arab Saudi. - Foto defense-arab.com
Peronda maritim Arab Saudi. - Foto defense-arab.com

Maritim Arab Saudi pintas 31 pendatang

RIYADH: Peronda maritim Arab Saudi memintas sekumpulan 31 pendatang haram, kebanyakannya dari Sudan yang cuba memasuki negara itu melalui laut, kata Agensi Berita Saudi (SPA) semalam.

Menurut SPA, operasi menyekat kemasukan pendatang asing dilaporkan meningkat sejak beberapa bulan lalu.

"Pada Ahad lalu, pengawal sempadan menahan sekumpulan 31 pendatang ketika cuba memasuki Arab Saudi menggunakan sebuah bot kayu, dari pantai Sudan," kata SPA.

Jurucakap Pengawal Sempadan, Kolonel Sahir Al-Harbi dipetik sebagai berkata, lebih satu pertiga daripada pendatang adalah wanita.

Menurut beliau, 25 daripadanya adalah warga Sudan, Nigeria (1) dan Ethiopia (5).

Menurut laporan SPA, sejumlah 308 pendatang haram dipintas Pengawal Pantai sejak separuh pertama Jun lalu.

Sebahagian besar pendatang datang dari Sudan selain Ethiopia, Chad, Nigeria dan Eritrea.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejak 2014 lebih daripada 10,000 orang terkorban akibat menyeberangi Mediterranean dari Afrika ke Eropah, yang sedang mengalami krisis pendatang asing paling teruk sejak Perang Dunia II. - AGENSI

Berita Harian X