Isnin, 11 Julai 2016 | 9:52am

Bangladesh haram saluran televisyen Peace TV

PENDUDUK Islam Kashmir memegang sepanduk sambil menjerit slogan semasa protes memihak kepada ulama dan pengasas Peace TV, Dr. Zakir Naik di Srinagar, Kashmir. - Foto EPA
PENDUDUK Islam Kashmir memegang sepanduk sambil menjerit slogan semasa protes memihak kepada ulama dan pengasas Peace TV, Dr. Zakir Naik di Srinagar, Kashmir. - Foto EPA

DHAKA: Kerajaan Bangladesh mengharamkan penyiaran saluran televisyen Peace TV beribu pejabat di India yang diasaskan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, selepas laporan menyatakan ceramahnya mempengaruhi beberapa militan yang melancarkan serangan pengganas paling buruk di kafe mewah di ibu kota negara itu.

Menteri Perindustrian, AAmir Hossain Amu berkata, keputusan mengharamkan Peace TV Bangla dibuat ketika mesyuarat khas Jawatankuasa Kabinet mengenai Undang-Undang dan Arahan.

Amu berkata, pada mesyuarat, yang dihadiri menteri kanan dan pegawai atasan keselamatan, juga memutuskan untuk memantau khutbah Jumaat untuk memeriksa sama ada ucapan provokatif disampaikan.

Ucapan Naik dipercayai mempengaruhi beberapa militan Bangladesh, yang membunuh 22 orang, terutama warga asing, di restoran mewah di Dhaka pada 1 Julai lalu.

Katanya, kerajaan turut merayu imam di negara itu supaya menyampaikan ceramah selari dengan ideologi Islam yang mengecam keganasan dan ekstremisme.

Selain menteri kanan, mesyuarat juga dihadiri ketua polis dan ketua unit elit Batalion Tindakan Pantas (RAB), pengawal sempadan separa tentera dan pegawai atasan pelbagai agensi keselamatan berbeza.

Menteri Dalam Negeri, Asadizzaman Khan, kelmarin berkata, agensi perisikan Bangladesh menyiasat pendakwa berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X