Isnin, 27 Jun 2016 | 9:50am

Kematian akibat pencemaran udara meningkat - IEA

PENCEMARAN udara. - Foto Reuters
PENCEMARAN udara. - Foto Reuters

LONDON: Kematian lebih awal akibat pencemaran udara akan terus bertambah menjelang 2040 kecuali perubahan dibuat kepada cara dunia menggunakan dan menghasilkan tenaga, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Kira-kira 6.5 juta kematian secara global berpunca daripada kualiti buruk udara luar dan dalam, menjadikan ia ancaman keempat terbesar kepada kesihatan manusia selepas tekanan darah tinggi, risiko pemakanan dan merokok.

Pencemaran bahaya seperti zarah yang mengandungi asid, logam, pasir dan partikel debu iaitu sulfur dioksida dan nitrogen dioksida, bertanggungjawab terhadap kesan pencemaran udara paling meluas.

Zarah halus itu boleh menyebabkan barah paru-paru, angin ahmar dan sakit jantung dalam jangka panjang, selain mencetuskan gejala seperti serangan jantung yang boleh membunuh lebih pantas.

Pembebasan bahan pencemar bahaya ini disebabkan pengeluaran dan penggunaan tenaga tidak terkawal atau tidak cekap, menurut IEA dalam laporan khas mengenai pencemaran tenaga dan udara.

Tanpa tindakan, kematian awal yang disebabkan kepada pencemaran udara secara terbuka akan meningkat kepada 4.5 juta pada 2040 daripada kira-kira tiga juta sekarang.

Bagaimanapun, kematian awal disebabkan pencemaran udara di rumah menurun kepada 2.9 juta daripada 3.5 juta.

Asia mencakupi hampir 90 peratus daripada peningkatan dalam kematian. - Reuters

Berita Harian X