Isnin, 20 Jun 2016 | 9:41am

Wanita dihitamkan muka, kepala dibotak kerana kahwin lari

JIP polis melakukan rondaan di Lahore. - Foto dunyanews.tv
JIP polis melakukan rondaan di Lahore. - Foto dunyanews.tv

LAHORE: Seorang wanita berusia 23 tahun diarak di jalan raya dengan wajahnya dihitamkan dan kepala dibotakkan oleh keluarganya kerana berkahwin lari dengan seorang lelaki, dalam kes terbaru siri jenayah 'bermaruah' di wilayah Punjab di Pakistan.

Laporan berkata, wanita itu yang didakwa berkahwin lari dengan seorang lelaki kampung berhampiran, kembali ke rumahnya seminggu kemudian.

Sebaik kembali, anggota keluarga termasuk bapa, suami dan ibu tirinya dilaporkan mendera beliau secara diam dan kemudian membawa mangsa mengadap perhimpunan ketua kampung yang mengumumkan hukuman kerana jenayah memalukan keluarga.

Pegawai kanan polis, Ehsan Sadiq, memberitahu wartawan aduan sudah difailkan terhadap 10 anggota keluarga wanita itu dan anggota perhimpunan ketua puak serta menangkap bapa dan ibu tiri mangsa.

Katanya, polis akan menangkap saki baki suspek tidak lama lagi dan menamatkan siasatan dalam masa terdekat.

Punjab digegarkan dengan jenayah berkaitan maruah, termasuk pembunuhan, sejak kebelakangan ini.

Dua wanita hamil dibunuh kejam oleh ibu bapa sendiri minggu lalu kerana berkahwin tanpa kebenaran keluarga. - AGENSI

Berita Harian X