Selasa, 14 Jun 2016 | 12:02pm

Operasi mengapungkan feri Korea Selatan ditangguhkan

BOYA besar yang digunakan untuk mengapungkan kren gergasi bagi proses membawa bangkai kapal Sewol ke permukaan. - Foto AFP
BOYA besar yang digunakan untuk mengapungkan kren gergasi bagi proses membawa bangkai kapal Sewol ke permukaan. - Foto AFP

SEOUL: Ombak kuat memaksa operasi mengapungkan feri Korea Selatan yang karam dalam tragedi menyayat hati pada 2014 dihentikan, kata seorang jurucakap semalam.

Sewol membawa 476 orang penumpang apabila ia tenggelam di luar pulau barat daya Jindo pada April 2014, menyebabkan 304 nyawa terkorban, sebahagian besarnya adalah pelajar sekolah.

Percubaan untuk mengangkat haluan kapal yang bermula petang Ahad lalu, menandakan bermulanya proses yang panjang dan sukar untuk membawa bangkai kapal itu ke permukaan. Ia antara permintaan utama keluarga mangsa yang berharap sembilan lagi mayat yang masih hilang mungkin dijumpai semula.

Akan tetapi ombak besar dan angin kencang memaksa syarikat pencarian itu menunda operasi hari ini selepas berjaya mengangkat sedikit haluan kapal, kata Kementerian Lautan dan Perikanan.

"Operasi ini akan disambung semula lewat bulan ini apabila cuaca bertambah baik dan ombak reda, kata jurucakap kementerian kepada AFP.

Sewol terdampar lebih 40 meter di dasar laut, dan pegawai berkata mengangkat kapal sepanjang 145 meter tanpa pecah adalah satu cabaran utama.

Bencana itu adalah disebabkan oleh kesilapan manusia, rekaan semula bentuk kapal secara haram, terlebih muatan kargo, anak-anak kapal yang tidak berpengalaman dan hubungan yang dipersoalkan antara pengusaha kapal dan pengawal selia negeri. - AFP

Berita Harian X