Ahad, 12 Jun 2016 | 3:00pm

Bida AS$3.45 juta makan dengan Warren Buffet

Hartawan Warren Buffett (kiri) bersama ahli perniagaan, Dan Gilbert mengambil bahagian pada panel perbincangan di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
Hartawan Warren Buffett (kiri) bersama ahli perniagaan, Dan Gilbert mengambil bahagian pada panel perbincangan di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

NEBRASKA: Buat kali kedua, seorang pembida tidak dikenali bersetuju membayar lebih AS$3.4 juta (RM13.8 juta) untuk makan tengah hari bersama hartawan Warren Buffett, dengan keuntungan disalurkan kepada badan kebajikan gelandangan San Francisco.

Bidaan bernilai AS$3,456,789 daripada pemenang malam Jumaat lalu mengikat rekod tertinggi pada 2012, apabila pembida turut membayar $3,456,789 untuk menjadi bahan amal individu paling mahal pernah terjual di eBay.

Lelongan eBay selama seminggu untuk mengumpulkan dana bagi Yayasan Glide bermula Ahad dan berlanjutan sehingga malam Jumaat.

Menjelang tengah hari Jumaat, bidaan sudah mencecah lebih AS$2.6 juta (RM10.6 juta), hampir AS$300,000 (RM1.24 juta) lebih tinggi berbanding pemenang bidaan tahun lalu oleh syarikat Dalian Zeus Entertainment Co beribu pejabat di Beijing.

Enam daripada lapan pemenang lalu membayar lebih AS$2 juta (RM8 juta) untuk makan dengan Buffett, pelabur yang mengetuai konglomerat, Berkshire Hathaway.

Buffett mengumpul lebih AS$20 juta (RM81 juta) untuk Glide. Lelongan makan tengah hari bermula selepas isteri pertama Buffett, Susie, menunjukkan kepada beliau badan kebajikan yang dinaunginya.

Susie Buffett meninggal dunia pada 2004, tetapi hubungan antara Buffett dan pengasas Glide berlanjutan. - Agensi

Berita Harian X