Rabu, 8 Jun 2016 | 4:57pm
ANCAMAN bom memaksa pesawat EgyptAir dalam penerbangan dari sini ke Beijing mendarat cemas di Uzbekistan hari ini. - Foto fail Reuters
ANCAMAN bom memaksa pesawat EgyptAir dalam penerbangan dari sini ke Beijing mendarat cemas di Uzbekistan hari ini. - Foto fail Reuters

Pesawat EgyptAir mendarat cemas di Uzbekistan

KAHERAH: Ancaman bom memaksa pesawat EgyptAir dalam penerbangan dari sini ke Beijing mendarat cemas di Uzbekistan hari ini, menurut pegawai Mesir.

Semua 135 penumpang dan kru dalam pesawat Airbus A-330-220 itu dibawa keluar dan pesawat digeledah.

Pesawat itu mendarat di lapangan terbang di Urgench, kira-kira 840 kilometer ke barat ibu negara Uzbek, Tashkent, tiga jam selepas ia berlepas dari Kaherah kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Menurut pegawai Mesir, seorang pemanggil tidak dikenali memberitahu ejen keselamatan di Lapangan Terbang Kaherah bahawa terdapat bom dalam pesawat berkenaan.

Anggota pengawal kemudian segera menghubungi pesawat dan mengarahkannya mendarat di lapangan terbang terdekat.

Di Russia, agensi berita RIA Novosti memetik seorang pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, lapangan terbang berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan pesawat Egypt terbabit melakukan pendaratan kecemasan.

Ia insiden terbaharu selepas pesawat EgyptAir terhempas di Laut Mediterranean yang dalam penerbangan ke Kaherah dari Paris, tiga minggu lalu.

Semua 66 orang di dalam pesawat terbunuh dan sehingga kini, operasi mencari kotak hitam pesawat masih dijalankan. - AP

Berita Harian X