Sabtu, 4 Jun 2016 | 11:20am

Bot karam, mayat lebih 100 migran terdampar

ANGGOTA Palang Merah Libya mengangkat mayat yang terdampar di pantai Libya dalam satu lagi tragedi bot karam di Mediterranean, dekat selatan Greece, semalam. - Foto AFP
ANGGOTA Palang Merah Libya mengangkat mayat yang terdampar di pantai Libya dalam satu lagi tragedi bot karam di Mediterranean, dekat selatan Greece, semalam. - Foto AFP

ATHENS: Lebih 100 mayat pelarian terdampar di pantai Libya dalam satu lagi tragedi bot karam di Mediterranean, dekat selatan Greece, semalam.

Usaha menyelamat diteruskan di sekitar Pulau Crete di Greece selepas sekurang-kurangnya 340 orang diselamatkan daripada kapal yang dipercayai belayar dari Afrika bersama ratusan pelarian ketika ia terbalik.

Sementara itu, Tentera Laut Libya berkata mereka menemui sekurang-kurangnya 104 mayat pelarian di pantai dekat barat bandar Zwara, Libya dan percaya angka korban mungkin meningkat.

"Jumlah mayat yang diterima setakat petang Khamis lalu adalah 104 tapi angka korban dijangka meningkat memandangkan bot itu membawa 115 hingga 125 penumpang," kata jurucakap tentera laut Libya, Kolonel Ayoub Qassem.

Nama dan warga negara mangsa yang ditemui Khamis lalu masih belum disahkan.

Sementara itu, jurucakap pengawal pantai Greece, Lagadianos berkata sekurang-kurangnya 340 orang berjaya diselamatkan, dan Pertubuhan Pelarian Antarabangsa (IOM) berkata bot itu dipercayai belayar dari Afrika bersama 700 pelarian.

Menurut pengawal pantai, di antara mereka yang terselamat, lebih 240 menuju ke Itali, 75 ke Mesir, 16 ke Turki dan tujuh ke Malta.

Tragedi bot karam itu adalah bot pelarian kedua ditemui di kawasan selatan Laut Aegean sejak minggu lalu. Ia menunjukkan penyeludup manusia mungkin mencuba laluan baru untuk mengelak dari dihidu kapal Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). - AGENSI

Berita Harian X