Khamis, 2 Jun 2016 | 9:39pm

Gempa Sumatera: 8 cedera, 1 maut

PADANG: Gempa bumi kuat magnitud 6.5 yang menggegarkan luar pulau Sumatera hari ini menyebabkan penduduk panik melarikan diri ke kawasan lebih tinggi, lapan orang dilaporkan cedera serta sejumlah bangunan rosak.

Gempa berlaku pada awal pagi, membangunkan penduduk di bandar pelabuhan utama di sini, terletak di pantai barat Sumatera, yang bergegas menyelamatkan diri.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa itu yang berlaku 140 kilometer dari bandar ini.

PUSAT gempa bumi bermagnitud 6.5 di pantai barat Sumatera.
PUSAT gempa bumi bermagnitud 6.5 di pantai barat Sumatera.

Jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, dua penduduk dilaporkan cedera parah akibat terkena serpihan runtuhan di bandar ini.

Di daerah berhampiran, katanya, enam orang cedera sementara 54 rumah dan sebuah hospital umumnya mengalami kerosakan kecil.

Sutopo berkata, seorang lelaki warga tua berusia 80 tahun maut akibat serangan jantung susulan gempa, namun tidak jelas jika ia dikaitkan dengan bencana alam itu.

Seorang penduduk, Ade Nelvi, berkata, dia terbangun akibat gegaran itu.

"Ia agak kuat dan rumah saya bergoyang, justeru saya berlari ke bilik anak-anak mengejutkan mereka dan kami berlari keluar menyelamatkan diri," katanya.

Bekalan elektrik terputus di sesetengah tempat selepas gempa namun dipulihkan sejurus selepas itu dan penduduk tidak diarah mengosongkan rumah. -AFP

Berita Harian X