Isnin, 23 Mei 2016 | 11:23pm

Duterte setuju Marcos dikebumi di makam wira, Arroyo dibebaskan

PRESIDEN dipilih Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
PRESIDEN dipilih Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

MANILA: Presiden dipilih Filipina, Rodrigo Duterte berkata, beliau akan membenarkan pengebumian segera bekas diktator Ferdinand Marcos di perkuburan wira dan akan menyokong pembebasan bekas Presiden Gloria Arroyo, kini ditahan atas tuduhan rasuah, dalam tindakan yang mungkin mencetuskan bantahan anti-kerajaan.

Duterte memberitahu media lewat hari ini bahawa Marcos berhak dikebumikan di perkuburan wira kerana mendiang adalah seorang askar dan bukan disebabkan dirinya wira.

Pengebumiannya dibantah Presiden Benigno Aquino III yang bakal melepaskan jawatannya dan kumpulan haluan kiri kerana penderaan hak asasi manusia dan penjarahan ketika pentadbirannya.

Duterte berkata, beliau menyokong pembebasan Arroyo daripada tahanan di sebuah hospital, mengatakan kes ke atasnya adalah lemah.

Datuk bandar selatan itu belum diisytiharkan pemenang pilihan raya 9 Mei lalu, namun satu kiraan undian tidak rasmi oleh pemerhati diiktiraf suruhanjaya pilihan raya menunjukkannya mendapat undian enam juta mendahului lawan terhampir.

Beliau dijangka memegang secara rasmi tugasnya 30 Jun ini.

"Saya akan membenarkan pengebumian Marcos di Libingan ng Mga Bayani, bukan kerana mendiang seorang wira namun kerana beliau pernah menjadi askar Filipina," kata Duterte di Davao City, merujuk kepada perkuburan seluas 142 hektar di ibu kota ini di mana sesetengah pemimpin negara dikebumikan.

Marcos melarikan diri ke Hawaii pada tahun 1986 susulan kebangkitan popular. Mendiang memerintah Filipina selama 20 tahun, di mana keluarganya mengumpul harta dianggarkan AS$10 bilion (RM40.9 bilion).

Mendiang meninggal dunia dalam buangan pada tahun 1989 dan tubuhnya yang diawet kini dipaparkan dalam sebuah makam di bandar kelahirannya di utara Filipina. -AP

Berita Harian X