Ahad, 15 Mei 2016 | 12:08pm

Pusat jagaan harian terbakar, 10 pegawai Mexico dipenjarakan

Orang ramai mengadakan demonstrasi bersama gambar kanak-kanak malang yang maut akibat kebakaran sebuah pusat penjagaan harian pada 2009, di hadapan mahkamah Negeri Sonora. - Foto au.news.yahoo.com
Orang ramai mengadakan demonstrasi bersama gambar kanak-kanak malang yang maut akibat kebakaran sebuah pusat penjagaan harian pada 2009, di hadapan mahkamah Negeri Sonora. - Foto au.news.yahoo.com

MEXICO CITY: Sepuluh pegawai kerajaan Mexico dijatuhi hukuman penjara sehingga 29 tahun kerana terbabit dalam kehilangan nyawa 49 kanak-kanak dalam kebakaran di sebuah pusat penjagaan harian pada 2009.

Semua sabitan membabitkan penjara 20 hingga 29 tahun untuk tuduhan pembunuhan kerana kelalaian dan mendatangkan bahaya kepada 38 daripada 49 kanak-kanak dan lima mangsa dewasa, menurut sebuah mahkamah Negeri Sonora.

Kebakaran itu merebak ke pusat jagaan harian ABC dengan 141 kanak-kanak berada di dalamnya dengan keadaan hanya terdapat dua jalan keluar kecemasan di premis.

Keadaan itu menyebabkan 49 daripada mereka maut, sementara 70 yang lain cedera. Premis prasekolah itu berada di bawah pentadbiran Institut Keselamatan Sosial Mexico.

Pihak berkuasa berkata, ia satu insiden tragik dan siasatan rasmi mendapati kebakaran bermula ketika unit penyaman udara terlalu panas di gudang yang dipenuhi kertas bersebelahan di Hermosillo, ibu negeri barat laut Sonora.

Namun selepas ibu bapa yang sedih menemui beberapa bahan bukti bertentangan, keluarga mangsa mendakwa kebakaran itu disengajakan.

Mereka berkata, gudang yang disewa Jabatan Perbendaharaan Sonora itu sengaja dibakar bagi menghapuskan dokumen berkaitan hutang negeri bernilai AS$800 juta (RM3.22 bilion).

Antara yang didapati bersalah oleh mahkamah ialah ketua pusat jagaan harian negeri dan beberapa ketua jabatan bomba serta keselamatan awam, kata pihak berkuasa. - AFP

Berita Harian X