Khamis, 12 Mei 2016 | 4:57pm

Pelancong terjun dari kapal terbakar di Australia

MANGSA menerima rawatan. - Foto AFP
MANGSA menerima rawatan. - Foto AFP

SYDNEY: Lebih 40 pelancong, kebanyakan warga tua China, beransur pulih selepas terjun ke laut sebaik sahaja kapal layar katamaran yang mereka naiki itu terbakar di Australia.

Kapal The Spirit of 1770 mengalami masalah ketika berada 10 batu nautika di luar bandar pesisir 1770 ketika dalam perjalanan ke Pulau Lady Musgrave berhampiran Terumbu Karang Besar apabila kebakaran bermula di bilik enjin.

Akhbar tempatan, Gladstone Observer melaporkan 42 penumpang dan empat anak kapal meninggalkan kapal dan terjun ke laut sebelum berenang ke rakit keselamatan, lewat petang, semalam.

Mereka hanyut selama beberapa jam sebelum tiga bot keselamatan tiba dan membawa mereka ke daratan. Gambar disiarkan akhbar terbabit menunjukkan mereka berselimut sambil dirawat oleh paramedik.

Polis Queensland, dalam satu kenyataan, menyatakan daripada 46 penumpang, 19 mendapatkan rawatan di Hospital Bundaberg dan Gladstone.

"Kapal itu itu terbakar sekitar jam 4 petang semalam dan ditinggalkan sekitar jam 4.30 petang menyebabkan operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Siasatan terhadap kejadian terbabit masih diteruskan," menurut kenyataan itu. - AFP

Berita Harian X