Khamis, 14 April 2016 | 10:46pm

Israel lulus 200 kediaman haram di Tebing Barat

Gambar yang diambil pada 14 April, 2016 menunjukkan penempatan haram Israel di Givat Zeev berhampiran bandar Tebing Barat Ramallah. - Foto AFP
Gambar yang diambil pada 14 April, 2016 menunjukkan penempatan haram Israel di Givat Zeev berhampiran bandar Tebing Barat Ramallah. - Foto AFP

BAITULMAQDIS: Israel meluluskan rancangan membina 200 rumah di penempatan haram baharu di wilayah dijajahnya di Tebing Barat, menyumbang peningkatan mendadak projek itu setakat ini, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel, semalam.

Seorang jurucakap pemerhati penempatan, Peace Now, Hagit Ofran berkata, kerajaan Israel memberi kelulusan membina sekurang-kurangnya 229 unit rumah dan kini projek itu dalam peringkat teknikal.

Projek membina penempatan perlu melepasi lima peringkat pentadbiran sebelum memperoleh kelulusan daripada Menteri Pertahanan, Moshe Yaalon. Namun, tiada ulasan diberikan Kementerian Pertahanan Israel.

Minggu ini, Peace Now berkata, jumlah penempatan yang dirancang dibina Israel di Tebing Barat adalah tiga kali ganda pada suku pertama tahun 2016, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Antara Januari hingga Mac lalu, projek membina 674 unit kediaman lulus sekurang-kurangnya satu peringkat dalam proses permohonan perancangan, meningkat berbanding 194 pada suku pertama 2015.

Rancangan baharu itu menjadikan jumlah pembinaan keseluruhan adalah 903 unit kediaman di penempatan haram.

Penempatan itu dianggap haram mengikut undang-undang antarabangsa dan dilihat sebagai penghalang utama usaha damai kerana dibina di atas tanah rakyat Palestin yang mungkin menjadi negara mereka pada masa depan. -AFP

Berita Harian X